BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, September 13, 2009

KEUTAMAAN BULAN RAMADHAN



Bulan Ramadhan mempunyai keutamaan dan keistimewaan daripada bulan-bulan yang lain di sisi Allah S.W.T. Ini kerana, bulan ramadhan dipilih sebagai bulan ibadah. Sabda Rasulullah S.A.W “ Tiap-tiap seseuatu itu ada musimnya. Sesungguhnya musim ibadah itu adalah di bulan Ramadhan” Namun demikian, tidak bermakna di bulan-bulan lain, umat Islam tidak dianjurkan untuk beribadah. Allah S.W.T tetap memerintahkan supaya beribadah. Tetapi, beribadah di bulan Ramadhan lebih digalakkan dan elok diperbanyakkan lagi. Mengapa pada bulan Ramadhan lebih-lebih digalakkan seseorang itu beribadah dan berbakti? Ini kerana di bulan Ramadhan terdapat ibadah-ibadah yang khusus yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Di dalam al-Quran hanya bulan Ramadhan sahaja yang disebut-sebut tetapi tidak kepada sebelas bulan yang lain.

Antara keistimewaan yang menjadikan bulan Ramadhan mulia adalah:


1) Di sepanjang bulan Ramadhan, Allah S.W.T mewajibkan umat Islam berpuasa di siang hari. Sedangkan perintah wajib puasa ini tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain


2) Pada sebelah malamnya, dianjurkan sembahyang sunat terawih. Umum umat Islam di Malaysia mendirikannya sebanyak 20 rakaat . Tetapi ada juga yang mengerjakannya 8 rakaat sahaja.


3) Bertadarus al-Quran secara beramai-ramai. Ini bukanlah bermakna al-Quran hanya dibaca di bulan Ramadhan sahaja dan melupakannya pada bulan-bulan yang lain. Maksud bertadarus adalah membaca al-Quran secara beramai-ramai, seorang demi seorang sambil disemak oleh orang lain. Yang lebih baik disertakan maksud bagi setiap bacaan tersebut.


4) Kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadhan mendapat pahala yang berlipat ganda. Lebih dari kebajikan-kebajikan yang dibuat di luar bulan Ramadhan

5) Bulan Ramadhan bulan terjadinya malam LailaturQadar. Ia berlaku di hari-hari ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan seperti malam 21, 23, 25, 27 atau 29. Sesetengah ulama berijtihad mengatakan LailaturQadar itu berlaku pada satu malam di bulan Ramadhan tetapi tidak diketahui pada malam yang mana. Ini bererti setiap amalan yang dilakukan bertepatan pada malam itu adalah lebih baik dari 1000 bulan yang bersamaan dengan 83 tahun. Inilah di antara hikmah mengapa Allah S.W.T tidak memberitahu malam sebenar berlakunya LailaturQadar itu. Kalau diberitahu pada malam-malam yang tertentu, nescaya semua orang akan beramal hanya untuk malam itu sahaja. Selepas itu, mereka akan lalai semula.

6) Digalakkan berikhtiqaf terutama 10 hari terakhir Ramadhan. Ini adalah antara malam Rasulullah S.A.W yang tidak pernah ditinggalkan.


7) Pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Di waktu itu juga iblis dan syaitan dibelenggu dan dirantai
Oleh itu, bulan Ramadhan adalah bulan yang membuka peluang seseorang itu untuk menambah amalan kebaikan. Tetapi mengapa ramai yang masih cenderung berbuat kejahatn di bulan Ramadhan sedangkan syaitan sudah belenggu? Ini kerana nafsu di dalam diri masih belum dilemahkan sepenuhnya. Sebab itu ramai yang berpuasa tetapi masih bergaul bebas, tidak menutup aurat, mengumpat, memfitnah dan lain-lain sifat terkeji lagi.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails