BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, December 24, 2009

"ADAB PERGAULAN DENGAN KAWAN-KAWAN"


*Orang yang paling rapat dengan kita selain dari ibu bapa dan keluarga yang lain adalah kawan-kawan kita, khususnya kawan-kawan sekelas atau sekuliah. Pergaulan seharian adalah suatu perkara yang tidak boleh dinafikan, lantaran kebanyakan masa diluangkan bersama-sama mereka.

*Dalam usaha untuk memperolehi rasa hormat dan sayang kawan-kawan terhadap diri kita, bergaullah dengan mereka secara baik dan peliharalah adab-adab dan batas-batas pergaulan dengan mereka. Insya-Allah, diri kita akan sentiasa dihormati, kehilangan kita akan sentiasa dicari dan ketiadaan kita akan terasa hambarnya persahabatan yang dirasakan oleh mereka. Jadikanlah diri kita seperti garam dalam masakan, akan tawarlah masakan tanpa garam lalu hilanglah keenakannya. Walau bagaimanapun, jangan kita merasa ego apabila merasakan diri kita seperti jaguh. Sebaliknya ikutlah resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Janganlah seperti kaduk naik junjung.

Maka, di antara adab-adab pergaulan dengan kawan-kawan ialah

- Menghulurkan bantuan kepada mereka apabila mereka amat-amat memerlukan bantuan tersebut. Bantulah dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

- Bersikap jujurlah dalam persahabatan, janganlah bersifat hipokrit, yang mana lain di lidah lain pula di hati. Akibatnya diri sendiri yang akan kehilangan harga diri.

- Jangan memburuk-burukkan seseorang kawan di hadapan kawan-kawan yang lain

- Jangan membuka aib kawan, kelak Allah S.W.T. akan membuka aib kita di akhirat kelak

- Jangan cemburu dengan kejayaan kawan-kawan. Cemburu yang membuta tuli akan menimbulkan perasaan hasad dengki. Sebaliknya, cemburulah dengan kejayaannya itu dan berusaha untuk mencapai kejayaan yang serupa.

- Janganlah menjatuhkan air muka sahabat dihadapan orang lain

- Jangan ketawa apabila seseorang rakan mengalami kegagalan

- Jangan mengejek dan memperkecil-kecilkan kawan kita. Umpanya jika seseorang rakan sekelas memberikan satu pendapat, jangan menolaknya sekali gus, katakanlah kepadanya: “pendapat anda baik”

- Jangan mengejek kawan-kawan kita dengan menggunakan panggilan yang tidak disukainya.

- Apabila berada dikalangan kawan-kawan, janganlah berbisik-bisik dengan seseorang kawan yang lain kerana ia akan mengundang syak di hati kawan-kawan yang lain.

- Apabila kita ingin menggunakan barang kepunyaan rakan kita, mintalah izin kepada mereka terlebih dahulu

- Kotakanlah setiap janji dengan sedaya upaya yang mungkin

- Akhir sekali, saling nasihat-menasihati sesama rakan untuk melakukan kebaikan dan menjauhi dari sebarang bentuk kejahatan.

*Oleh itu, sama-samalah kita berusaha untuk menjadi seorang sahabat yang baik kepada sahabat kita. Ini kerana, kadang-kadang kita tidak sedar bahawa perbuatan kita telah menyinggung perasaan sahabat kita.



Wednesday, October 7, 2009

KELEBIHAN BERSIWAK

*Bersiwak atau lebih dikenali dengan bersugi kini jarang-jarang sekali dilakukan oleh kita sebagai seorang Islam. Ia merupakan amalan Rasulullah SAW yang sering dilakukannya sebelum menyempurnakan setiap pengambilan wuduk bagi menunaikan solat. Pernahkah kita terfikir apakah kelebihan bersiwak? Kenapa Rasullullah SAW begitu mementingkan amalan siwak, serta menggalakkan umatnya sentiasa mengamalkannya. Sebagaimana yang kita tahu siwak adalah berasal daripada ranting pohon arak dan dibuat daripada dahannya. Pohon arak merupakan jenis siwak yang sangat baik dan bagus. Ini kerana, siwak mengandungi zat-zat yang dapat membunuh setiap kuman dan bakteria di dalam mulut. Di dalamnya juga terdapat satu jenis zat yang dapat membasmi bakteria yang serupa dengan Vanisilin. Ia juga mengandungi zat Cangrin yang mempunyai kesan tinggi bagi pembersihan yang sangat berkesan dan juga membasmi segala bakteria. Selain itu, terdapat juga zat Cilis yang dapat membuang setiap saki baki makanan dan dapat menghilangkan zat kapur kuning yang terdapat pada gigi. Siwak juga dapat menyerlahkan gigi dan memutihkannya dengan lebih berkesan. Ia juga mengandungi zat penahan aliran darah yang berterusan dan dapat menyembuhkan luka-luka yang terdapat pada gusi sekaligus membersihkan mulut.


*Siwak juga turut mengandungi kadar zat Clurida yang sangat tinggi yang dapat membantu membuang zat garam mulut dan warna kuning yang terdapat pada gigi dan juga dapat menghilangkannya. Sebagaimana yang telah diketahui bahawa zat kuning pada gigi merupakan punca utama timbulnya zat kapur yang dapat menghancurkan gigi. Siwak juga mengandungi zat pengharum yang sangat banyak yang dapat membentuk pelbagai lapisan atau sebagai pelindung utama di atas gigi untuk menjaganya daripada pecah dan retak. Jika berlaku keretakan pada gigi dan wujud lubang pada gigi tersebut, ia akan menyebabkan kerosakan pada gigi. Di dalamnya juga terdapat zat-zat pengharum yang dapat mengharumkan bau mulut dan menjadikannya berbau wangi.


*Menurut Profesor Roudach , pengarah ilmu berkenaan bakteria di Universiti Routoch, Jerman telah menemukan rahsia ilmiah tentang siwak dan beliau berkata: Siwak yang pernah digunakan oleh bangsa Arab sejak beratus-ratus tahun sebagai berus gigi merupakan salah satu alat pembersih gigi yang sangat baik dan tinggi kualitinya kerana ia mengandungi pelbagai zat yang berkesan yang dapat membasmi mikrobat yang melebihi Vanisilin.

*Oleh itu, faedah bersiwak ini ialah dapat membersihkan mulut, membawa kepada keredhaan Allah S.W.T, memutihkan gigi, mengharumkan bau mulut, dan menguatkan gusi. Selain itu, ia juga dapat menambah kecerdasan, mempertajamkan penglihatan, memperlambatkan uban pada rambut, melipatgandakan pahala dan memudahkan pencabutan roh ketika sakaratul maut. Sebagai bukti menunjukkan bahawa siwak ini adalah suatu yang mulia kerana ia telah digunakan oleh Rasulullah S.A.W, keluarga baginda, sahabat-sahabatnya dan para pengikutnya yang mulia.


p/s: banyak sungguh khasiat siwak ni. Oleh itu, sahabat-sahabat marilah kita sama-sama menggunakan siwak ye (^,^)




Wednesday, September 30, 2009

KASIH IBU

*Sahabat-sahabat jika kita perhatikan daripada gambar ini, dapatlah kita simpulkan betapa tingginya kasih sayang ibu kepada kita. Mana tidaknya ibulah yang telah mengandungkan, melahirkan, membesarkan, mendidik dan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anaknya. Bahkan jika anak-anaknya sakit, ibulah yang bersusah payah menjaganya sehinggakan mereka tidak dapat tidur semalaman dek kerana anak-anak yang menangis tidak henti-henti sepanjang malam. Hati ibu tidak akan tergamak untuk membiarkan anaknya dari terus menangis sepanjang malam dan ibu akan melakukan pelbagai cara seperti memberi susu, ubat, mendodoi dan sebagainya agar si anak berhenti dari menangis dan dapat tidur dengan lena. Bahkan, ibu juga sanggup berlapar agar semua anaknya dapat menjamah sesuap nasi supaya mereka tidak kelaparan.

*Bayangkan sahabat-sahabat betapa besarnya pengorbanan ibu kita kepada kita semua, mula daripada kita kecil hingglah kita dewasa. Jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dibalas hatta dengan wang ringgit sekalipun. Tetapi berapa ramaikah diantara kita yang berbakti kepada ibu? yang mampu menjaga ibu apabila tua? yang mampu memberi kebahagiaan kepada mereka sebagaimana mereka telah memberi kebahagiaan kepada kita sehingga kita berjaya...Sedih dan pilu rasanya, apabila kita sering dengar dan lihat di TV, radio, internet dan di akhbar bagaimana terdapat segelintir anak-anak yang sanggup menderhaka kepada ibu mereka dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat, menyepak, membiarkan ibu hidup dalam keadaan derita apabila mereka sudah berjaya dan yang paling menyedihkan ada yang sanggup membunuh ibu tatkala segala permintaan mereka tidak diikuti...nauzubillah!!!betapa kejamnya mereka yang melakukan perbuatan yang hina itu, tidakkah mereka terfikir pengorbanan ibu yang membesarkan mereka? Tidakkah mereka takut dengan azab Allah S.W.T di akhirat kelak?














*Sama-samalah kita muhasabah diri wahai sahabat-sahabat sekalian adakah kita sudah memberikan yang terbaik untuk ibu kita? Masih tidak terlambat untuk kita melakukannya selagi ibu kita masih ada dan ingatlah pintu taubat Allah S.W.T akan sentiasa terbuka untuk hamba-hambanya yang melakukan kesalahan. Alhamdulillah, bersyukurlah kita kepada Allah S.W.T yang telah mengurniakan kita seorang ibu yang telah banyak berjasa kepada kita dan sama-samalah kita berdoa agar kita tidak tergolong daripada anak-anak yang derhaka kepada ibu kita...ingat!!! apa yang kita lakukan hari ini kepada ibu kita, kelak Allah S.W.T akan membalasnya apabila kita juga turut mempunyai anak suatu hari nanti...





Tuesday, September 29, 2009

“BUDAYA COUPLE”



Selalu sangat kita mendengar penuntut-penuntut IPT ditangkap khalwat, berzina, hamil luar nikah dan sebagainya. Adakah mereka tidak pernah berfikir sebelum melakukan sesuatu, sedangkan mereka dianugerahkan akal yang lebih baik daripada orang yang tidak berjaya dalam pelajaran?Oleh itu, isu yang menjadi topik utama ialah budaya ‘couple’ dikalangan pelajar ipt yang mana ia merupakan punca kepada kemaksiatan jika ia ia tidak dikawal dengan iman yang sempurna.

Budaya berkepit atau lebih dikenali sebagai couple bukanlah perkara baru dikalangan remaja hari ini. Malah budaya ini seolah-olah menjadi satu kemestian bagi kebanyakan remaja. Terutamnya remaja di peringkat Sekolah Menengah dan Pusat Pengajian Tinggi. Bagi pelajar di peringkat IPT, ia merupakan satu perkara biasa apabila selalu berdua-duaan ketika mengulangkaji pelajaran, menaiki motosikal, ketika makan dan sebagainya. Ini kerana, di IPT mereka bebas untuk melakukan sesuatu perkara tanpa ada halangan daripada sesiapa. Malahan pula, ibu bapa mereka jauh dari mereka dan tidak dapat memerhatikan setiap gerak geri yang dilakukan oleh anak mereka di IPT. Oleh itu, tanpa ada sesiapa yang menyekat dan memerhatikan gerak geri dan perlakuan mereka seharian, ia menjadikan mereka seolah-olah lupa diri akan tujuan utama mereka menjejakkan kaki ke IPT.

Bahaya budaya couple dikalangan pelajar IPT ialah apabila seseorang yang selalu keluar berdua-duaan dan terlalu mempercayai kata-kata manis daripada teman lelaki sehingga sanggup menyerahkan diri kepada mereka. Kesannya, apabila sudah terlanjur dan mengandung, maka teman lelaki mulalah tidak mahu bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan oleh mereka dan mula meninggalkan teman wanita mereka. Oleh itu, kaum wanitalah yang akan menanggung semua penderitaan apabila mereka bukan sahaja terpaksa menanggung malu malah turut dibuang daripada Universiti.

p/s: Artikel ini tidak ada niat untuk menyinggung perasaan sesiapa, ia hanya sekadar peringatan untuk diri saya dan semua supaya berhati-hati dengan cinta.

Monday, September 28, 2009

POLITIK ISLAM



Konsep politik Islam merujuk kepada himpunan prinsip dan peraturan, kaedah dan cara yang menjadi landasan serta garis panduan para pemimpin menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negara berdasarkan kehendak syarak. Konsep politik Islam juga merujuk istilah siasah syariyyah yang telah diterima pakai sejak ulama-ulama terdahulu. Hal ini kerana, siasah syariyyah turut menjurus kepada kaedah dan pendekatan pemimpin negara dalam menjalankan urusan negara selari dengan kehendak syarak kerana ia merupakan landasan yang memelihara perjalanan politik agar terus berada dalam kebenaran agama.

Prinsip-prinsip politik Islam
:

1) al-Siyadah atau al-Hakimiyah

Prinsip utama politik Islam ini meletakkan kekuasaan perundangan dan kedaulatan hukum yang tertinggi hanya milik mutlak Allah S.W.T. Ini bermakna sumber kedaulatan dan kekuasaan politik Islam hanyalah Allah S.W.T yang mencipta perlembagaan umat Islam. Perlembagaan tersebut adalah abadi dan kekal hingga hari kiamat. Oleh itu, apa-apa polisi atau keputusan yang dibuat hendaklah selaras dan selari dengan kehendak syarak. Inilah tonggak paling penting yang menunjangi sistem politik Islam kerana umat Islam mesti menerima konsep Uluhiyyah dan Rububiyyah Allah S.W.T.


2) Keadilan


Kedailan merupakan prinsip penting dalam konteks politik Islam. Keadilan bermaksud tidak tersasar dari dasar yang telah ditetapkan dalam sistem politik, iaitu menunaikan tanggungjawab dan hak kepada mereka yang berhak dan tidak merampas hak orang lain. Keadilan bukan untuk orang Islam semata-mata, tetapi turut melibatkan orang bukan Islam.

3) Kebebasan


Prinsip ini menegaskan bahawa setiap Muslim mempunyai kebebasan untuk memilih apa-apa yang terbaik bagi mereka dan tidak ada kongkongan yang boleh menyekat kebebasan tersebut. Ini termasuk kebebasan manusia daripada perhambaan terhadap sesuatu selain Allah S.W.T. dan kebebasan manusia untuk mendapatkan pelbagai hak dalam kehidupannya sebagai manusia dalam kumpulam masyarakat. Islam amat menekankan kebebasan manusia daripada perhambaan sesama manusia dan ini merupakan alasan utama kenapa Islam boleh menghapuskan budaya jahiliah yang begitu terkenal dengan perhambaan sesama manusia sebelum kedatangannya. Islam mengajar hambanya supaya menghambakan diri hanya kepada Allah S.W.T dan bukannya manusia.

4) Persamaan

Prinsip ini menjelaskan bahawa dalam konteks politik Islam, ia tidak membezakan tanggungjawab dan hak-hak atau layanan kepada seseorang menurut kepelbagaian bangsa, keturunan, bahasa dan sebagainya. Malah, rakyat bukan Islam berhak untuk mempertahankan hak-hak mereka daripada dicabuli. Selain itu, mereka juga dikehendaki melaksanakan tugas dan sama-sama bertanggungjawab dalam mempertahan dan membangunkan negara Islam.

5) Syura


Dalam prinsip politik Islam, syura atau musyawarah dianggap perkara penting. Kebijakan dan keberkesanan sesebuah pemerintahan harus dibina atas dasar musyawarah. Ini kerana, syura adalah perbincangan atau rundingan bertujuan untuk mengetahui pelbagai buah fikiran ke arah pencapaian sesuatu rumusan. Syura juga menghimpunkan pandangan ahli syura dalam sosial politik dan pentadbiran kerajaan untuk kebaikan rakyat.

PERANAN SUNNAH DALAM SYARIAH ISLMIYYAH




1) al-Sunnah berfungsi untuk menguatkan nas-nas al-Quran

Sebagai contoh yang berkenaan dengan solat, puasa dan zakat telah banyak dinyatakan kewajipan mendirikannya di dalam kehidupan seharian. Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasullullah S.A.W seperti:

“ Islam didirikan di atas lima rukun, syahadah, sembahyang, zakat, puasa dan haji ”.

Hadith ini berfungsi untuk menguatkan beberapa nas al-Quran yang lain.


2) al-Sunnah berfungsi untuk menerangkan nas-nas yang mujmal

Terdapat ayat al-Quran yang diturunkan secara ringkas yang memerlukan keterangan dari al-Sunnah, antara contoh yang paling jelas adalah solat. Cara bertakbir, ruku’, sujud tidak dinyatakan di dalam al-Quran, ini diterangkan hanya melalui sunnah Rasulullah S.A.W sebagaimana yang kita pekajari dalam tatacara solat tulisan al-Albani, sifat Solatun Nabi.


3) al-Sunnah berfungsi untuk mentakhsiskan( menentukan ) nas yang umum

Terdapat bebrapa ayat al-Quran yang diturunkan dengan lafaz yang umum. Antaranya firman Allah S.W.T:


“ Allah perintahkan kamu mengenai pembahagian harta pusaka untuk anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan”( al-Nisa’:11 )


Ayat ini mungkin umum sifatnya, mungkin juga ayat ini ditujukan kepada Rasul dan anak-anak baginda, akan tetapi telah datang sunnah Rasul untuk mengkhususkan lafaz yang umum ini berdasarkan sabda baginda: “ Kami para nabi tidak dipusakai”. Hadith ini telah mengkhusukan ayat sebelas surah nisa’. Begitu juga Rsulullah S.A.W mengkhususkan kepada pembunuh yang juga tudak layak dipusakai, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W pembunuh tidak mendapat apa-apa dari harta pusaka orang yang membunuhnya.


4) As-Sunnah membatasi ( taqyiid ) nas al-Quran yang mutlak ( tidak terbatas )

Antara ayat al-Quran yang diturunkan secara mutlak ialah firman Allah S.W.T

“ Lelaki yang mencuri dan wanita yang mencuri potonglah tangan mereka berdua ( al-maidah: 38 )

Ayat di atas bersifat mutlak, kerana tidak dibatasi had yang perlu dipotong, ada hingga ke lengan, siku, atau adakah layak bagi pencuri itu dipotong hanya jika barang yang dicuri itu sedikit? Maka tentang had dalam isu potong tangan ini, sunnah telah membatasinya berdasarkan sunnah Rasulullah S.A.W dengan mengisyaratkan pergelangan tangan. Begitu juga dengan kadar barang yang dicuri juga telah dibatasi berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W.

“ Jangan memotong tangan pencuri melainkan ia mencuri sesuatu yang bernilai ¼ dinar atau lebih”


5) As-Sunnah berfungsi menguatkan hukum-hukum yang terdapat asasnya di dalam al-Quran

Sunnah Rasulullah S.A.W juga berfungsi untuk menerangkan nas-nas yang sudah mempunyai asas di dalam al-Quran. Contohnya hadith Rasulullah S.A.W “ Pada hari khaibar, Rasulullah S.A.W melarang dari memakan binatang buas yang mempunyai taring dan burung yang berkuku panjang.

Haiwan-haiwan yang dilarang oleh Rasulullah S.A.W ini tidak dinyatakan di dalam al-Quran, dan tidak termasuk ke dalam haiwan-haiwan yang disebut oleh Allah S.W.T yang haram dimakan di dalam al-Quran. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan bahawa sunnah Rasulullah S.A.W. mempunyai peranan yang cukup besar dan mempunyai ikatan yang kuat dalam mengintepretasikan( menterjemahkan ) isi al-Quran dengan lebih terperinci. Sesuai dengan firman Allah S.W.T:


“ Dan kami turunkan kepada kamu ( wahai Muhammad ) al-Quran yang mengandungi peringatan supaya kamu menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, moga-moga mereka memikirkannya”. ( al-nahl: 44 )


Sunday, September 13, 2009

KEUTAMAAN BULAN RAMADHAN



Bulan Ramadhan mempunyai keutamaan dan keistimewaan daripada bulan-bulan yang lain di sisi Allah S.W.T. Ini kerana, bulan ramadhan dipilih sebagai bulan ibadah. Sabda Rasulullah S.A.W “ Tiap-tiap seseuatu itu ada musimnya. Sesungguhnya musim ibadah itu adalah di bulan Ramadhan” Namun demikian, tidak bermakna di bulan-bulan lain, umat Islam tidak dianjurkan untuk beribadah. Allah S.W.T tetap memerintahkan supaya beribadah. Tetapi, beribadah di bulan Ramadhan lebih digalakkan dan elok diperbanyakkan lagi. Mengapa pada bulan Ramadhan lebih-lebih digalakkan seseorang itu beribadah dan berbakti? Ini kerana di bulan Ramadhan terdapat ibadah-ibadah yang khusus yang tidak terdapat di bulan-bulan yang lain. Di dalam al-Quran hanya bulan Ramadhan sahaja yang disebut-sebut tetapi tidak kepada sebelas bulan yang lain.

Antara keistimewaan yang menjadikan bulan Ramadhan mulia adalah:


1) Di sepanjang bulan Ramadhan, Allah S.W.T mewajibkan umat Islam berpuasa di siang hari. Sedangkan perintah wajib puasa ini tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain


2) Pada sebelah malamnya, dianjurkan sembahyang sunat terawih. Umum umat Islam di Malaysia mendirikannya sebanyak 20 rakaat . Tetapi ada juga yang mengerjakannya 8 rakaat sahaja.


3) Bertadarus al-Quran secara beramai-ramai. Ini bukanlah bermakna al-Quran hanya dibaca di bulan Ramadhan sahaja dan melupakannya pada bulan-bulan yang lain. Maksud bertadarus adalah membaca al-Quran secara beramai-ramai, seorang demi seorang sambil disemak oleh orang lain. Yang lebih baik disertakan maksud bagi setiap bacaan tersebut.


4) Kebajikan yang dilakukan di bulan Ramadhan mendapat pahala yang berlipat ganda. Lebih dari kebajikan-kebajikan yang dibuat di luar bulan Ramadhan

5) Bulan Ramadhan bulan terjadinya malam LailaturQadar. Ia berlaku di hari-hari ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan seperti malam 21, 23, 25, 27 atau 29. Sesetengah ulama berijtihad mengatakan LailaturQadar itu berlaku pada satu malam di bulan Ramadhan tetapi tidak diketahui pada malam yang mana. Ini bererti setiap amalan yang dilakukan bertepatan pada malam itu adalah lebih baik dari 1000 bulan yang bersamaan dengan 83 tahun. Inilah di antara hikmah mengapa Allah S.W.T tidak memberitahu malam sebenar berlakunya LailaturQadar itu. Kalau diberitahu pada malam-malam yang tertentu, nescaya semua orang akan beramal hanya untuk malam itu sahaja. Selepas itu, mereka akan lalai semula.

6) Digalakkan berikhtiqaf terutama 10 hari terakhir Ramadhan. Ini adalah antara malam Rasulullah S.A.W yang tidak pernah ditinggalkan.


7) Pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Di waktu itu juga iblis dan syaitan dibelenggu dan dirantai
Oleh itu, bulan Ramadhan adalah bulan yang membuka peluang seseorang itu untuk menambah amalan kebaikan. Tetapi mengapa ramai yang masih cenderung berbuat kejahatn di bulan Ramadhan sedangkan syaitan sudah belenggu? Ini kerana nafsu di dalam diri masih belum dilemahkan sepenuhnya. Sebab itu ramai yang berpuasa tetapi masih bergaul bebas, tidak menutup aurat, mengumpat, memfitnah dan lain-lain sifat terkeji lagi.

Related Posts with Thumbnails